19/12/2020

Esei

 Sayangi Malaysiaku

Oleh: Muhd Luqman Bukhari (2A)

Alam sekitar ialah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semula jadi di muka bumi ini. Allah telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran Malaysia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-ganang sebagai pemasak bumi, tumbu-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa untuk Malaysia. Alam sekitar akan terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan yang keterlaluan dan sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik.

Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang segar dan bersih merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat oksigen secukupnya.

Udara persekitaran yang bersih dan segar juga membolehkan masyarakat Malaysia menikmati keselesaan. Kita akan berasa selesa jika tiada gangguan di persekitaran kita. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas, marah dan tidak selesa. Aktiviti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Selain itu, penanaman pokok-pokok haruslah dirancang dengan teratur dari semasa ke semasa. Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi untuk menstabilkan suhu persekitaran. Penanaman pokok-pokok ini juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida. Akhirnya, pemanasan global dapat dikawal dan akan menstabilkan ekosistem persekitaran. Penjagaan sumber-sumber alam sekitar seperti pokok-pokok akan dapat membendung pelbagai masalah, sebagai contoh hutan mengawal hakisan tanah dan banjir. Hutan juga menjadi salah satu sumber ekonomi negara kita.

Alam sekitar yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga yang mampu membawa penyakit di Malaysia. Persekitaran yang bersih menghalang haiwan seperti lalat, nyamuk dan tikus daripada membiak dan menyebarkan penyakit kepada manusia seperti malaria, demam denggi, taun dan hawar. Keadaan ini turut melindungi makanan rakyat Malaysia daripada dicemari oleh vektor-vektor penyakit tersebut dan dengan itu, masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Gangguan daripada serangga di dalam rumah juga dapat dielakkan jika persekitaran dalam keadaan bersih. Alam sekitar yang bersih dapat mengurangkan pembiakan serangga seperti nyamuk, lalat dan serangga lain yang berada di dalam rumah. Tanpa serangga tersebut, rakyat Malaysia dapat berehat dengan selesa di rumah pada bila-bila masa. Selain itu, persekitaran yang bersih juga mengelakkan pencemaran bau yang boleh mengganggu keselesaan hidup kita.

Selain itu, air merupakan sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Air sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia sehinggakan manusia boleh hidup bertahan beberapa hari dengan air sahaja tanpa makanan. Tubuh kita mengandungi lebih kurang 70% air. Sekiranya kehilangan air, hal ini akan mengakibatkan kita kehilangan tenaga. Air bukan sahaja penting kepada manusia malah kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang turut memerlukan air. Air yang suci dan bersih merupakan penjana kepada kehidupan di muka bumi. Oleh sebab itu, air merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia. Rakyat Malaysia haruslah berganding bahu dalam memelihara dan menjaga kebersihan air terutamanya menjaga keselamatan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

Tambahan pula, alam sekitar yang dijaga oleh semua lapisan masyarakat dapat mengelakkan kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang merupakan salah satu sumber makanan kepada manusia. Pencemaran alam sekitar yang dilakukan akan menyebabkan kemusnahan habitat haiwan dan sumber makanan manusia akan berkurang. Sebagai contoh, hidupan laut seperti udang, ikan dan seumpamanya merupakan sumber makanan yang mengandungi protein yang dapat menstabilkan kesihatan manusia. Sekiranya kita melakukan sebarang pencemaran laut seperti pembuangan sisa toksik ke dalam laut, kepupusan hidupan laut akan berlaku. Manakala, tumbuh-tumbuhan pula menjadi sumber kepada perubatan seperti herba untuk merawat pesakit. Alam sekitar yang tidak tercemar membolehkan habitat hidupan darat dan air terpelihara.

Di samping itu, alam sekitar yang bersih akan dapat meningkatkan ekonomi Malaysia. Sesebuah masyarakat yang bersih dan mengandungi nilai kedamaian akan dapat menarik perhatian pelancong asing. Kedatangan pelancong asing ke dalam negara kita akan meningkatkan nilai tukaran mata wang asing dan ini akan dapat memajukan sektor perkhidmatan dan sektor perniagaan serta menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Dengan ini, imej negara kita akan dapat ditingkatkan.

Kesimpulannya, pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar perlu dijalankan bagi menjamin bekalan sumber makanan tidak tercemar selain kebersihan udara untuk meneruskan kelangsungan hidup. Lantaran itu, rakyat Malaysia haruslah bekerjasama dan saling membantu dalam memelihara alam sekitar supaya kebersihan alam sekitar dapat ditingkatkan dalam kehidupan kita. Bak kata pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

Share:

Dilihat

Theme Support